KUALA LUMPUR – Sehingga kini belum ada vaksin Covid-19 yang disahkan berkesan dan selamat oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr, Noor Hisham Abdullah.
Katanya, WHO turut menjelaskan beberapa langkah pencegahan Covid-19 yang boleh diamalkan oleh setiap individu dalam menghalang jangkitan itu, dan selari dengan nasihat yang sering ditekankan oleh Kementerian Kesihatan.
Kata beliau, dalam sorotan berita WHO pada hari yang sama juga, kerajaan Malaysia telah diiktiraf mempunyai sistem kesihatan yang kukuh dan mempunyai liputan yang sejagat (UHC).
“Sistem kesihatan di Malaysia juga diiktiraf mempunyai asas yang kukuh dalam menangani wabak Covid-19 ini melalui pengalamannya yang lepas.
“Kita menghargai pengiktirafan WHO ini dan terus komited dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.
Dr. Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh kerajaan.
Beliau mahu masyarakat menjadikan nasihat itu satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian seperti mengelakkan berada di kawasan yang sesak, menggelakkan kawasan yang sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.
Sebaliknya, kata beliau, masyarakat perlu mengamalkan dengan lebih kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai alat pelitup muka di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos lalu.
“Amaran dari Kementerian Kesihatan lebih berkonsep kepada peringatan seperti menggelakkan bersalaman, bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam.
“Mengamalkan etika batuk dan bersin, mendapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan kunjung mengunjung serta lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh,” katanya. – MalaysiaGazette