khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menasihatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar menumpukan kepada usaha membersihkan nama beliau yang terpalit dengan dakwaan jenayah rasuah.

Kata beliau, kebelakangan ini bekas Menteri Kewangan itu menunjukkan minat yang begitu mendalam terhadapnya.

“Nampaknya Guan Eng sangat berminat mengulas tentang saya. Saya rasa beliau perlu fokus membersihkan nama beliau yang terpalit dengan dakwaan jenayah rasuah.

“Itu kesalahan jenayah yang sangat besar. Itu maksiat besar. Tidak bermoral.

“Layakkah beliau bercakap tentang moral di saat kes rasuah banglo beliau digugurkan oleh bekas Peguam Negara dengan cara yang dipertikaikan oleh rakyat?,” soalnya menerusi hantaran Facebooknya petang ini.

Pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) tidak henti-henti ‘menyerang’ Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang melanggar proses kuarantin selepas pulang dari Turki bulan lalu.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin telah dikenakan denda dan dipanggil polis Bukit Aman untuk siasatan.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu, Guan Eng juga masih berhadapan dengan kes rasuah terowong bernilai RM6.3 bilion.

“Beliau tanpa malu dan tidak bermoral menipu di Dewan Rakyat mengenai isu kononnya wang GST dirompak.

“Terkini kes rundingan terus bernilai RM6 bilion semasa menjadi Menteri Kewangan. Beliau didakwa memberi kelulusan tanpa pengetahuan menteri berkaitan.

“Beliau memang ada moral ke? Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu,” katanya dengan sindiran.

Katanya, pemimpin kanan DAP itu dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada berbicara mengenai kes rasuah yang masih dipalitkan kepadanya dengan memperbesarkan isu beliau.

“Beliau akan berhadapan dengan dua lagi kes jenayah di mahkamah, untuk menenangkan dirinya beliau sedang berzikir perihal orang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.