KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan memfailkan saman ke atas syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan berlaku pencemaran Sungai Selangor sehingga 1.2 juta rakyat berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air.
Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, beliau selaku plaintif dalam kes itu akan memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Shah Alam minggu depan.
Kata beliau, turut dinamakan sebagai defendan kedua dalam kes itu ialah Perbadanan Air Selangor kerana gagal bertindak atau mencegah dari gangguan bekalan air berlaku berulang kali.
“Kita sudah buat keputusan, minggu depan kita akan saman syarikat bertanggungjawab melakukan pencemaran air Sungai Selangor dan Perbadanan Air Selangor sebagai defendan kedua.
“Saya sendiri bersama peguam saya akan memfailkan kes ini di Mahkamah Shah Alam, dan mana-mana wakil parti serta NGO yang cekal dan berani dijemput hadir.
“Kita akan tunjuk kepada kerajaan negeri bahawa rakyat tidak boleh dipermainkan lagi dalam isu bekalan air ini,” katanya ketika melancarkan Bahagian Putra Sabak Bernam, hari ini.
Menurut Ibrahim, masalah air di negeri itu makin sehari bertambah kritikal dan peliknya, ia bukan pertama kali berlaku.
Kata beliau, setiap kali berlaku gangguan bekalan air, ia mengambil masa antara tiga hingga empat hari, iaitu suatu jangkamasa yang menyeksakan rakyat apabila mengalami keputusan sumber air.
“Saya ingat masalah air berlaku di Kelantan sahaja. Selama 30 tahun Pas memerintah sehingga sekarang masalah air tidak selesai. airnya berwarna kuning seperti teh tarik, tetapi di Selangor pun berlaku juga.
“Sebagai pengguna, kita mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dari Air Selangor, sebab kita bayar bil setiap bulan. Oleh itu, kita mesti bertindak supaya tidak lagi berdepan masalah ini pada masa akan datang,” katanya.
Selain masalah bekalan air di Selangor, Ibrahim berkata, Putra Malaysia juga turut memandang serius kejadian pencerobohan tanah hutan simpan kerajaan Pahang di Raub, yang diusahakan oleh pihak tertentu dengan tanaman durian Musang King.
Beliau menjelaskan, beberapa pemimpin parti itu yang diketuai Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman telah meredah masuk ke kawasan berkenaan untuk melihat sendiri kira-kira 4,400 hektar tanah simpan diceroboh sejak berpuluh tahun lamanya.
“Sebab itu, Putra mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat bagaimana kes ini boleh berlaku. Siapakah yang menjadi dalang dan bertanggungjawab sehingga berpuluh tahun baru ‘sedar’.
“Ada yang jawab, tidak perlu tubuh RCI, cukup dengan Putra buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes itu.
“Mereka tidak faham bila saya minta tubuhkan RCI. Jika tersilap percaturan boleh menimbulkan isu perkauman dan hanya RCI sahaja boleh mengelakkannya dari diambil kesempatan oleh pihak tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Saman jgk majlis daerah, exco dan menteri besar Selangor yg jelas gagal menjalankan tugas.