Peserta Siswa Umno bersorak sambil mengibarkan bendera Umno ketika membuat flashmob sebagai tanda bantahan kerajaan terdahulu semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di pasar malam Pekan Slim River, Perak. foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2020.

BEBERAPA minggu ini, kita melihat kebangkitan orang muda secara radikal menuntut perubahan bukan hanya lanskap Malaysia secara umum, tetapi ia termasuk iklim politik dan masyarakat.

Janganlah kita mengabaikan tuntutan ini kerana orang muda akan mewakili perkumpulan terbesar dalam masyarakat Malaysia, jika Akta Undi18 telah diwartakan, kita akan memiliki tambahan 3.8 juta pemilih baru, yang mewakili 18 peratus. Pada masa ini, tanpa adanya Akta Undi18, kita memiliki 42 peratus dari keseluruhan pengundi berdaftar.

“Parti Anak Muda” yang ditubuhkan oleh Syed Saddiq, menunjukkan bahawa majoriti orang muda mahu ada perwakilan dalam cabang legislatif, UMNO harus mengakui perkara ini dan melakukan sesuatu mengenainya.

Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama pada PRU14, bukan? UMNO perlu lebih rendah hati dan lebih banyak mendengar daripada “menyuruh” mereka lakukan atau tidak.

Saya mencadangkan agar 30 peratus daripada 809 kerusi perundangan termasuk Parlimen dan DUN harus diperuntukkan kepada golongan muda. Menang atau kalah, itu perkara kedua, akan tetapi kita perlu memulakan dengan wajah baru yang segar dan ada merit yang baik.

Seperti yang dikatakan oleh Tun Hussein Onn semasa Perhimpunan Agung UMNO 1976; “Saya tidak rela melihat cahaya UMNO malap. Dalam pada itu kita haruslah memikirkan nilai-nilai baharu, supaya golongan muda me­nyertai perjuangan mempertahankan kepentingan parti pada masa depan. Pemimpin sekarang mesti bersedia membawa perubahan dalam cara pemikiran, sikap dan haluan dengan menggabungkan tenaga lama dan baru untuk memimpin parti”.

Saya ada mengatakan sebelum ini;
“Orang muda sekalian, mari kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita, perkumpulan mandiri di dalam sekalian rakyat. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah perkumpulan kita”.

Marilah kita tunjukkan kepada dunia, iaitu kita, orang muda masih boleh mengangkat kepala kita dan menatap dunia bagaimana orang yang benar dan kuat hatinya membuat.

Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha.”

Saya memperjuangkan ekuiti antara generasi (intergenerational equity), maksudnya adalah mencari keseimbangan antara pemimpin muda dan pemimpin semasa, saya tidak mengatakan agar kesaksamaan itu perlu diketengahkan, itu bertentangan dengan prinsip Barisan Nasional iaitu, parti yang mendorong politik ekuiti, jangan salah faham tentang perkara itu.

Bukan hanya saya sahaja yang menyuarakan tentang pentingnya perwakilan orang muda, malah rakan-rakan saya iaitu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Johor Bahru juga mempunyai pandangan yang sama. Di kawasan selatan Johor, Bahagian-Bahagian ini mengharap agar ada perubahan baru dan inklusif dalam UMNO.

Konklusinya, UMNO perlu menawarkan wajah baru dan muda dengan merit yang baik untuk pilihan raya akan datang agar kita dapat memperoleh sokongan majoriti rakyat dan menyebarkan prinsip politik ekuiti kepada masyarakat lebih luas, itulah apa yang diharapkan oleh orang muda terhadap UMNO.

Muhammad Shaqib Shahrilnizam
Ketua Penerangan,
Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Pulai