KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 873 individu, iaitu penahanan terbesar dalam tempoh 90 hari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara teramai ditahan ialah di kelab-kelab malam dan pub di seluruh negara dalam operasi pematuhan, semalam.
Beliau berkata, dari jumlah itu, seramai 580 individu ditahan atas kesalahan mengingkari arahan PKP di kelab malam dan pub dan 118 gagal menjarakkan diri antara satu sama lain.
“Selepas soal siasat, 797 individu dikenakan kompaun, manakala 71 lagi direman dan lima dijamin.
“Antara mereka yang ditahan ialah masing-masing 52 orang tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa, Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati ) 39 orang, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (22), disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran (tujuh), langgar perintah kuarantin (dua), dan menghalang penjawat awam bertugas (seorang),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Selain itu, kata beliau, Operasi Pematuhan yang diketuai polis semalam, telah membuat 58,147 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
Katanya, ia melibatkan 2,770 pasukan pematuhan dengan seramai 12,255 anggota bertugas, termasuk melakukan pemantauan di 4,099 pasar raya, 4,936 restoran serta 1,419 penjaja, 1,040 kilang, 3,719 bank dan 742 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,086 terminal pengangkutan darat, 218 terminal pengangkutan air serta 113 terminal pengangkutan udara.
Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, semalam juga seramai 30 Pati dan empat penyeludup ditangkap menerusi Operasi Benteng.
Dalam operasi itu, pasukan keselamatan turut merampas 12 kenderaan darat yang digunakan penyeludup untuk membawa masuk Pati menerusi lorong tikus.
“Sebanyak 79 sekatan jalan raya diadakan semalam, melibatkan 65 tempat oleh polis, 10 lokasi oleh anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan empat tempat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng ini diletakkan bawah National Task Force (NTF) merangkumi ATM, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan AKSEM.
“Mereka bertugas mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pati dan membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya. – MalaysiaGazette