KUALA LUMPUR – Janji kerajaan untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 diharapkan bukan sekadar gula-gula pilihan raya, sebaliknya diluluskan dalam mada terdekat ini.
Bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Ahli Jawatankuasanya, Faiz Fadzil berkata, cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat sebagai wajar, khususnya ketika ekonomi negara yang lembap, memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Cadangan menaikkan bantuan kepada RM1,000 berbanding sebelum ini RM200 hingga RM300 sebulan sangat wajar. Tetapi diharapkan ianya bukan gula-gula pilihan raya.
“Bukan itu sahaja, peningkatan bantuan ini tidak harus dihadkan bagi sesuatu tempoh masa tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada majlis Perjumpaan Pimpinan Masyrakat bersama Perdana Menteri di Sandakan, Sabak 30 Ogos lalu, Muhyiddin dilaporkan mengusulkan agar bantuan bulan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan RM1,000.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan dikemukakannya pada mesyuarat jemaah menteri minggu berikutnya, sambil menyatakan, beliau tahu kenyataan itu memberikan implikasi besar, tetapi tidak peduli.
Menurut Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, bantuan JKM diberikan kepada golongan sasar miskin tegar dan jumlah bantuan berbeza mengikut golongan.
Kata beliau, golongan yang mendapat bantuan itu termasuk OKU tidak berupaya bekerja sebanyak RM250, elaun pekerja cacat RM400, bantuan penjagaan OKU atau pesakit terlantar RM350, bantuan orang tua RM350 dan bantuan kanak-kanak antara RM100 hingga RM450.
Kerajaan negeri seperti Pulau Pinang pula, ujarnya, memberikan bantuan am kepada golongan miskin tegar antara RM260 hingga RM770 sebulan.
Jelasnya, peningkatan bantuan JKM pada tahun sebelum ini terlalu sedikit dan tidak bersepadanan dengan peningkatan kos sara hidup serta inflasi.
“Misalnya, berdasarkan data JKM, purata bantuan bulanan yang diterima seorang OKU pada tahun 2010 lebih kurang RM160.
“Namun, pada tahun 2018 bantuan ini telah meningkat kepada RM250 untuk OKU tidak berupaya bekerja dan RM350 untuk bantuan penjagaan OKU atau pesakit terlantar.
“Ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, banyak perhatian telah diberikan kepada keperluan golongan sasar seperti OKU, di mana kadar tambahan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak OKU tanpa dihadkan umur, bawah Belanjawan 2019,” katanya.
Beliau menyatakan, manakala bawah Belanjawan 2020 pula, golongan OKU diberikan BSH sebanyak RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma.
“Satu model baharu harus diperkenalkan untuk bantuan JKM, di mana bayaran bukan sahaja dinaikkan kepada RM1,000, tetapi harus menjadi lebih tersasar dengan faktor tanggungan harus diambil kira.
“Adalah tidak relevan jika seorang penerima bantuan JKM yang mempunyai lima anak menerima bayaran RM1,000, berbanding seorang bujang yang menerima amaun yang sama,” ujarnya.
Selain itu, kata Faiz lagi, sebagai insentif bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan JKM, sewajarnya penerima yang mempunyai rekod menunjukkan mereka berusaha mencari pekerjaan atau menubuhkan perniagaan, diberikan amaun bantuan tambahan untuk satu tempoh tertentu.
“Dalam kerajaan membantu golongan memerlukan, adalah penting bagi golongan ini diberikan sokongan untuk berdiri di kaki sendiri dan mencapai taraf hidup yang jauh lebih baik. Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikan.
“Sebagai ADUN, kerjasama baik dengan JKM sangat penting dalam memastikan pembelaan terhadap golongan miskin tegar ini dapat dilaksanakan di peringkat bawah.
“Saya juga melihat keperluan penambahan kakitangan JKM bagi memantapkan perkhidmatan di peringkat bawah,” katanya.
Oleh kerana garis kemiskinan telah dinaikkan baru-baru ini kepada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini, dengan cadangan kenaikan RM1,000 ini, jumlah bantuan dianggarkan melonjak secara kasar kepada RM18 bilion setahun berbanding hanya RM1.53 bilion ketika ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula menyatakan penerima manfaat JKM akan meningkat tiga kali ganda berbanding lebih 500,000 individu ketika ini.
“Walaupun ini peningkatan yang drastik, ianya mustahak untuk mengukuhkan sosioekonomi golongan termiskin di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
Ok la dari dpt 30 ringek