Shazni Munir

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mahu kerajaan Selangor mengenakan hukuman lebih berat termasuk sebatan dalam pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Ini kerana, dengan hukuman yang lebih berat akan memberi pengajaran kepada masyarakat umum mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air.

Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sayap parti itu menyambut baik saranan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk melakukan pindaan enakmen LUAS.

Katanya, cadangan pindaan dengan meningkatkan denda kepada RM1 juta dan turut melibatkan beberapa lagi peruntukan lain amat bersesuaian.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 seperti Seksyen 34B(1) misalnya, dan Menteri Alam Sekitar wajar menggunakan Seksyen 51(1) untuk penggubalan peraturan-peraturan yang lebih ketat.

“Sungai perlu dipandang sebagai kawasan keselamatan negara dan diberikan zon penampan lebih luas untuk menghentikan pencemaran dan menyebabkan bekalan air terputus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Justeru, kata Shazni Munir, undang-undang berkaitan pencemaran air perlu diperketatkan bagi menghalang kejadian berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tegas beliau, penutupan empat loji rawatan air pada Khamis lalu, serta terputus bekalan air telah dikenalpasti berpunca daripada Kilang Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. / AYY Construction Sdn. Bhd.

“Pengendali kilang itu ketika ini masih dalam tahanan reman dan pihak berkuasa telah mendedahkan kilang terbabit pernah melakukan kesalahan sama dan didenda RM60,000 pada Mac lalu,” katanya.

Akibat kecuaian kilang itu, air Sungai Selangor mengalami pencemaran bau dan menjejaskan bekalan air selama empat hari kepada lebih 1.2 juta rakyat di negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast