Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pengundi yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 kini boleh membuat semakan pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) mulai hari ini.

Semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888; atau d) Hotline SPR 03-8892 7018.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, suruhanjaya itu telah  meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 1,103,646 orang pengundi biasa untuk memudahkan pengundi merancang untuk keluar mengundi pada PRU DUN Sabah Ke-16 ini.

Kad itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

Maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari pengundian pada 26 September ini.

Tambahnya,  SPR meletakkan maklumat “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN” pada kad bagi setiap pengundi dan berharap pengundi keluar mengundi mengikut “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN”.

Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau berdasarkan waktu mengundi yang diwartakan.

Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, katanya, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRU DUN Sabah Ke-16 boleh membeli DPPR tersebut di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah atau hubungi 03-8892 7018 atau 088-488 588. – MalaysiaGazette