Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali (kanan) bersama peguamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bergambar selepas memfailkan saman terhadap syarikat yang bertanggungjawab mencemarkan air Sungai Selangor minggu lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Seramai 17 penduduk sekitar Lembah Klang bertindak sebagai plaintif telah memfailkan saman terhadap syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. atas perbuatan menyebabkan berlaku pencemaran sumber air mentah Sungai Selangor minggu lalu.

Peguam Tetuan Azam Aziz & Co, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili semua plaintif itu telah memfailkan saman berkenaan secara e-failing pada jam 1.52 tengah hari tadi dan writ itu telah berada dalam rekod Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Katanya, kumpulan plaintif itu yang diketuai Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mengakui akibat kecuaian syarikat itu, mereka termasuk jutaan penduduk di Lembah Klang, Petaling Jaya dan Wilayah Persekutuan mengalami masalah bekalan air terputus dalam tempoh tiga hingga lima hari.

Jelas beliau, selain menunggu nombor rujukan fail kes dari mahkamah, pihaknya juga akan membuat serahan writ berkenaan kepada defendan yang kini sedang dalam tempoh reman untuk siasatan polis.

“Plaintif yang memfailkan saman ini adalah atas kapasiti individu dan isi rumah. Ada sebahagiannya peniaga, suri rumah serta ketua keluarga. Mereka ada yang tinggal di rumah teres dan pangsa serta berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan akibat dari pencemaran sungai itu.

“Selain itu, saman ini juga turut mengambil kira kenyataan di media yang dikeluarkan oleh Ketua Komuikasi Korporat Air Selangor berhubung dengan penutupan operasi Loji Rawatan Air (LRA) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran air di Sungai Gong, Selangor.

“Kita juga memasukkan dalam writ ini bagaimana pihak Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telahpun mengenakan kompaun, perintah henti operasi tutup terhadap kilang itu,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam petang ini.

Berikutan kecuaian operasi kilang berkenaan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah Lembah Klang, yang dinagka berterusan sekurang-kurangnya empat hari.

Serentak itu juga, satu laporan polis dibuat dan empat pengarah syarikat, yang merupakan adik beradik direman selama enam hari untuk siasatan.

Menurut Mohd Khairul Azam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang medianya Sabtu lalu menyatakan, kilang terbabit telah diarah tutup termasuk kemungkinan akan dirobohkan.

Kata beliau, pengarah itu dikenakan reman oleh Mahkamah Sesyen Selayang minggu lalu untuk disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat mencemarkan Sungai Gong yang merupakan salah satu daripada punca air utama bagi seluruh penduduk di Selangor.

“Berdasarkan semua fakta itu, kita akan memanggil pihak pengurusan Air Selangor, PBT dan kerajaan negeri sebagai saksi kepada plaintif nanti untuk mengesahkan bahawa pemilik kilang ini yang bertanggungjawab mencemarkan air sungai di Sungai Gong menyebabkan kesusahan dan kepayahan kepada jutaan rakyat serta penduduk.

“Kita tidak menamakan mereka sebagai defendan, tetapi tidak bermaksud kerajaan negeri dan agensi ini terus lepas tanggungjawab daripada bersalah dalam isu air ini, kerana kita dapat melihat banyak lagi masalah air berlaku.

“Kita tidak menolak kemungkinan saman pertama yang kita failkan ini apabila berlaku kecuaian. Rakyat hendak melihat tindakan yang lebih tegas diambil kepada pihak yang bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Untuk itu, kata Mohd Khairul, 17 plaintif ini menuntut dari pihak defendan, pertamanya, ganti rugi am; kedua, ganti rugi spesifik; tiga, ganti rugi tauladan, kos dan lain-lain perkara yang dianggap wajar serta adil oleh pihak mahkamah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast