Michael Smith (kanan) dan Bill Birtles. foto AP

SYDNEY – Dua daripada wartawan asing terkemuka Australia di China bergegas pulang demi keselamatan setelah mereka disoal siasat secara berasingan oleh pihak Kementerian Negara China.

Wakil wartawan Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan Australian Financial Review (AFR) mendapatkan perlindungan di kedutaan Australia di Beijing dan Konsulat di Shanghai ketika diplomat berunding dengan pegawai China untuk membolehkan mereka meninggalkan negara itu, lapor ABC dan AFR.

Kedua wartawan itu – Bill Birtles dari ABC dan Michael Smith, bekerja untuk AFR – telah dilarang meninggalkan China sehingga mereka menjawab pertanyaan mengenai warga Australia yang ditahan dan wartawan penyiar, Cheng Lei, kata AFR dalam satu laporan.

Kedua-dua wartawan itu berkata, mereka berminat dalam penyiasatan terhadap Cheng, penyiar perniagaan berprofil tinggi di televisyen negara China, yang telah ditahan oleh pihak berkuasa, menurut laporan AFR.

Kedua-dua wartawan itu telah terbang keluar dari China malam tadi dan tiba di Sydney pagi ini.

Mereka yang ditemui di Lapangan Terbang Sydney melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa keluar dari China dalam keadaan begitu.

“Ini bukan pengalaman yang sangat baik,” katanya.

ABC berkata, syarikat itu membawa balik wartawan-wartawan tersebut susulan mendapat nasihat daripada Kerajaan Australia.

AFR dalam kenyataannya memberitahu, pengamal-pengamal media itu melakukan tugas masing-masing.

“Kejadian itu “dikesali dan mengganggu dan bukan demi kepentingan hubungan kerjasama antara Australia dan China”,” kata AFR dalam satu kenyataan.

Hubungan antara Australia dan China tegang pada tahun ini setelah tuntutan Canberra untuk penyelidikan antarabangsa yang bebas terhadap sumber wabak koronavirus.

Beijing tidak puas hati dengan tindakan tersebut dan sejak itu menyekat import daging lembu Australia, mengenakan tarif lambakan ke atas barli dan melancarkan penyelidikan anti-lambakan terhadap anggur Australia. – MalaysiaGazette