Mohammed Khusrin Munawi

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius dan sentiasa memberi keutamaan terhadap isu berkaitan akidah umat Islam termasuk ancaman gerakan liberal di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, dalam usaha menangani penyebaran fahaman dan ajaran yang menyeleweng dari agama Islam, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Selangor (JMS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) sentiasa bekerjasama secara bersepadu mencegah kegiatan itu.

Kata  beliau, fatwa yang diwartakan 31 Julai 2014 berhubung Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama menyatakan, mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman itu adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Oleh itu, katanya, bagi memberi kefahaman dan penjelasan awal berhubung fahaman liberalisme dan implikasi penglibatan seseorang dalam fahaman tersebut, MAIS dan JMS telah melaksanakan program penerangan secara berterusan berkaitan fatwa itu kepada pelajar, pegawai di jabatan kerajaan dan orang awam.

“Justeru, kenyataan yang ditengahkan oleh sebuah media arus perdana berkaitan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) berpeluk tubuh serta makan gaji buta dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah media pada 7 September lalu, yang menyatakan Majlis Agama Islam setiap negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa tidak berpeluk tubuh dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut Mohammed Khusrin, MAIS melalui JAIS juga sentiasa komited dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Selangor melalui pelbagai program yang tersusun dan terancang.

Katanya, bagi tahun 2014 hingga 2019, JAIS telah melaksanakan 582 aktiviti yang melibatkan sesi penjelasan, seminar, konvensyen dan pemantauan bagi memastikan fahaman liberalisme termasuk ajaran sesat agar dapat ditangani sehingga ke akar umbi.

“Tindakan dan pemantauan berterusan melalui media sosial juga diambil bagi membendung penyebaran fahaman liberalisme ini.

“Selain itu, MAIS juga telah menerbitkan beberapa buku berkaitan kesedaran akidah untuk rujukan orang ramai,” ujarnya.

Beliau berkata, MAIS melalui JAIS juga sentiasa proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk dengan kerjasama orang awam ke atas fahaman itu yang disyaki kembali aktif.

Mohammed Khusrin menasihati umat Islam di Selangor sentiasa waspada dan tidak terpengaruh dengan kepercayaan fahaman yang telah difatwakan sesat.

Ini kerana, fatwa itu mengikat semua orang Islam dalam Selangor untuk mematuhinya dan kegagalan berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Umat Islam juga, katanya, dinasihati menghubungi talian hotline penguatkuasaan JAIS untuk sebarang aduan atau maklumat berhubung fahaman liberalisme di Selangor di talian 1-800-88-2424. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast