Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Muktamar Pas tahun ini akan diadakan dalam suasana normal baharu dengan mengambil kira wabak Covid-19 yang masih menular.

Malah, muktamar kali ke-66 ini juga mencatat sejarah kerana diadakan genap satu tahun usia Muafakat Nasional (MN) selepas dimeterai pada 14 September 2019.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, muktamar itu akan diadakan di Pusat Tarbiah Pas Kelantan (Putik) pada 13 September ini dengan kehadiran yang terhad, sekitar kira-kira 400 perwakilan.

Katanya, perwakilan hanya terdiri daripada Ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat, wakil dewan termasuk Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Yang Dipertua Pas setiap kawasan.

“Selain itu, wakil empat pimpinan Pas setiap kawasan di Kelantan sebagai tuan rumah, manakala perwakilan Pas kawasan lain akan mengikuti muktamar tersebut secara atas talian.

“Mereka akan berada di Perhubungan Pas setiap negeri bagi mengikuti muktamar itu secara atas talian. Mereka boleh mengikuti ucapan dasar presiden juga secara atas talian.

“Begitu juga perbahasan wakil negeri akan dibuat secara atas talian dengan pimpinan utamanya berada di Putik,” katanya selepas merasmikan Muktamar Pas Kota Bharu kali ke-53 di Dewan Jubli Perak MPKB BRI di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Dr. Ramli Mamat; Naib Yang Dipertua Pas, Nor Azariza Md Alawi; dan pimpinan Dewan Ulama, Muslimat, Pemuda dan DHPP.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Hanapi Abdullah.

Takiyudin yang juga Yang Dipertua Pas Kota Bharu berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan diada muktamar tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette