Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui tidak berfikir panjang apabila partinya dijemput UMNO dan Pas untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan untuk kepentingan diri sendiri namun inisiatif diambil untuk membentuk kerjasama dengan rakan parti lain yang mempunyai wadah perjuangan sama.

Jelas beliau, apa yang penting bukan hasil manfaat politik tetapi kepada negara secara keseluruhannya.

“Kita duduk berbincang dengan rasa dan kasih-sayang agar masa depan negara lebih terjamin. Yang penting bila pilihan raya, rakyat beri mandat kepada kita dan bekerja bersungguh-sungguh.

“Jangan tanya bila pula pilihan raya yang penting bekerja seolah-olah esok pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-4 Bersatu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pimpinan tertinggi parti.

Muhyiddin yang memangku jawatan Pengerusi Bersatu turut menasihati orang Melayu agar jangan iri hati sampai merenggangkan hubungan sesama mereka.

Sebaliknya beliau berkata, bangsa itu perlu percaya dan membantu antara satu sama lain bagi melengkapkan kekurangan satu sama lain.

Mengulas kejayaan beliau mengurus negara ketika berdepan Covid-19 sebaik menjadi perdana menteri, Muhyiddin tidak mahu dianggap ‘masuk bakul angkat sendiri’.

Namun beliau percaya dan yakin rakyat telah berasa terjamin dengan keselamatan mereka dengan langkah yang telah diambil kerajaan.

“Orang panggil saya abah macam tua tapi tidak apa jika mereka rasa selamat,” katanya. – MalaysiaGazette