Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Isu penyatuan Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (MN) hanya akan berjaya jika semua pihak terbabit ikhlas memperjuangkan matlamat berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, apabila menyentuh mengenai isu perpaduan ummah atau penyatuan bangsa Melayu, perkara paling asas yang perlu ada ialah keikhlasan serta kejujuran untuk merealisasikannya.

Jelas beliau, apabila wujud keikhlasan, baik dalam kalangan pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu, usaha penyatuan ummah itu akan berjalan lancar serta berjaya.

“Bila kita sebut mengenai keikhlasan, ia membawa makna penyatuan itu tidak boleh dibuat bersyarat.

“Jika satu pihak tertentu menguasai satu pihak yang lain, itu bukannya penyatuan. Begitu juga, jika kita sebut mengenai penyatuan politik Melayu, tiga parti utama iaitu Bersatu, UMNO dan Pas memiliki hak yang sama dan tiada istilah satu parti mengatasi parti yang lain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu Negeri Sembilan berkata, dalam merapatkan hubungan antara parti utama itu, semua pihak perlu sensitif mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi yang akhirnya matlamat penyatuan Melayu itu tidak akan tercapai.

Ujar beliau, tiga perkara utama yang perlu dimiliki semua parti yang mahu melihat penyatuan Melayu adalah keikhlasan, kejujuran dan saling hormati menghormati.

“Kita kena tahu had atau batasan dalam setiap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh semua pihak.

“Kita tidak boleh terus membuat sesuatu yang menyinggung perasaan antara satu sama lain.

“Jika sebelum kita nak bersatu pun kita sudah letakkan macam-macam syarat, bagaimana kita semua mahu duduk semeja dengan harmoni,” katanya.

Beliau percaya, semua parti Melayu yang ada mempunyai matlamat sama untuk mengekalkan penguasaan politik orang Melayu dalam negara ini..

“Cuma pendekatan masing-masing berbeza. Pas dengan pendekatan agamanya. UMNO dengan agenda pembelaan Melayu dan Bersatu dengan hasrat memartabatkan Melayu.

“Setiap satu ada perbezaannya, namun matlamatnya adalah sama untuk kebaikan dan masa depan Melayu.

“Jadi semua gabungan baik MN mahupun PN sememangnya mengimpikan penyatuan Melayu dalam konteks kekuasaan dan pentadbiran yang hanya boleh dicapai atas dasar saling percaya serta jujur untuk menyatukan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. …..kalau betul BERSATU ikhlas….kenapa perlu ujudkan Perikatan Nasional(PN) bagi menghadapi PRU15???

    Tidakkah molek mengunakan platfom Muafakat Nasional(MN) sahaja?

    …kan lebih mudah!?
    …dan yg lebih nyatanya…org melayu pasti tidak akan keliru kerana penyatuan itu berada dlm SATU kapal!!

    Yang menjadi kekeliruan adalah…banyak kapal dan banyak nakhoda!!!

Comments are closed.