A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Perbuatan dua timbalan menteri yang menuduh Veveonah Mosibin berbohong untuk mencari publisiti di media sosial wajar dicela oleh Jawatankuasa Tatatertib Parlimen.

Ini kerana, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin itu berkaitan dengan pertanyaan di Parlimen dan menyentuh harga diri seorang remaja yang sepatutnya mereka bela, kata wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.

Sebaliknya mereka bersekongkol cuba menegakkan benang kering dengan menuduh pelajar terbabit.

”Benang kering tidak boleh ditegakkan. Ia akan berbuai ditiup angin. Hanya benang basah boleh diluruskan. Sebab itu kita basahkan hujung benang dan pintal untuk memasukkannya ke dalam lubang jarum,” katanya.

Kadir berkata, permohonan maaf dan pernyataan kekesalan tidak cukup.

“Mereka wajib dicela (censure) oleh Jawatankuasa Tatatertib Parlimen. Mereka telah menyebabkan pembohongan berlaku di dewan yang mulia itu,” tegasnya sambil menyatakan seelok-eloknya mereka dipecat sahaja daripada jawatan masing-masing.

Kadir menzahirkan ucapan tahniah kepada Veveonah atas kecekalannya dan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan, Masidi Manjun kerana berusaha mencari kebenaran.

”Kalau inilah sikap dan pekerti orang dewasa, khususnya dari parti-parti Perikatan Nasional, maka amat sesuailah orang muda mempunyai parti dan gerakan mereka sendiri supaya kuasa mengundi mereka tidak sia-sia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast