Buku "Sementara Ku Di Sini" Catatan Uncle Kentang yang dilancarkan olehnya di Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

PUCHONG – Kisah permulaan hidup Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang diabadikan menerusi garapan penulisan yang penuh dengan pengajaran dalam sebuah buku bertajuk Sementara Ku Di Sini.

Buku pertama setebal 200 muka surat itu ditulis sendiri oleh Chee Heng dan dibantu oleh Bahruddin Bakri serta dijual pada harga RM35.

Chee Heng yang berasal daripada keluarga penoreh getah itu tiba-tiba menjadi terkenal dan tular selepas kisahnya membeli juadah berbuka puasa untuk lapan beranak di Taman Lestari Putra, Seri Kembangan beberapa tahun lalu.

Kuan Chee Heng menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran Buku “Sementara Ku Di Sini” Catatan Uncle Kentang di Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

Lelaki berusia 57 tahun itu kini menyediakan perkhidmatan van jenazah, ambulans dan teksi 10 sen secara percuma kepada golongan tidak berkemampuan.

Selain mengagihkan bantuan makanan asas secara percuma, Chee Heng yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebelum ini turut menyediakan Dapur Umum yang membolehkan mereka yang lapar dan miskin mengambil makanan secara percuma.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia percaya memberi tidak akan menjadikan individu itu menjadi miskin dan sedekah tidak akan menjadikan hidup seseorang itu melarat.

Bahkan dia yang berasal dari Kampung Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor yakin Tuhan akan menambah rezeki mereka yang membantu orang lain.

“Mengapa saya tulis buku ini? Kerana umur saya semakin tua. Saya sudah ibarat kelapa tua yang menunggu masa untuk jatuh.

“Saya tidak tahu bila dan saya tidak mahu fikirkan semua itu. Saya hanya tahu saya mahu menolong sebanyak mana orang yang mampu saya bantu.

“Saya hanya mahu tahu bagaimana saya boleh mempermudahkan urusan semua orang yang susah ini. Dan saya juga tahu ia bukan kerja seorang diri dan ini kerja semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran bukunya itu di sini hari ini.

Chee Heng yang kini Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia berkata, tujuan beliau menghasilkan buku itu sebagai inspirasi dan panduan kepada mereka yang baik hati apabila mahu berjuang menjadi sukarelawan.

Jelasnya, buku itu juga didedikasikan kepada mereka yang bertarung demi kelangsungan hidup dan mahu mengubah nasib diri masing-masing.

“Pesan saya permudahkan urusan orang lain, bantulah mereka dan apabila kita merasa sendirian, ingat Tuhan sentiasa ada.

“Namun jangan biarkan diri terlalu bersendirian. Ajak orang lain untuk sama-sama membantu,” katanya.

Sementara itu, sebahagian hasil daripada pembelian buku itu akan disalurkan untuk pembelian van jenazah dan pengurusan ambulan.

Ketika ini, Kuan Cheng memiliki masing-masing lapan buah kenderaan itu hasil sumbangan orang ramai serta teksi 10 sen untuk mereka yang ingin ke hospital dan klinik.

Orang ramai yang ingin mendapatkan buku ini boleh membeli secara atas talian di www.unclekentang.com, bookcafe.com.my dan di Shopee. – MalaysiaGazette