KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri digesa memohon maaf secara terbuka berikutan kenyataan mereka yang berkeras mempertahankan dakwaan bahawa Veveonah Mosibin menipu ketika menjawab peperiksaan di atas pokok menerusi videonya yang tular.

Ini bukan sahaja memalukan diri sendiri dan kredibiliti Kabinet kerajaan, apatah lagi terkait dengan Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri yang melawan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.

Polemik berterusan ini bukan hanya menjatuhkan maruah diri dan keluarga remaja ini, termasuk kampus yang mana tempat beliau belajar tercalar teruk disebabkan serangan ini.

Oleh itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga menyeru agar segala bentuk buli siber khususnya ke atas Veveonah dihentikan.

Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim menegaskan, para pemimpin serta ahli politik perlu komited dengan sikap dan prinsip kepimpinan melalui teladan dalam melawan berita palsu serta buli siber.

”Dapat berita, kaji. Tak pasti, jangan kongsi,” katanya.

Tambah beliau, pihak kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada isu asal iaitu pembangunan infrastruktur pendukung jaringan internet yang sememangnya lemah di Sabah dan Sarawak.

Malah, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Sri Micheal Manyin Jawong dalam kenyataan media pada 11 Jun 2020 sendiri menyatakan bahawa, kurang 50% pelajar mempunyai akses internet di Sarawak untuk pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP).

”Kepayahan yang dialami oleh golongan mahasiswa adalah hakikat, dan bukannya dibuat-buat demi mendapatkan
segulung ijazah yang sebenar, bukan ijazah yang dibeli atau dipertikaikan legitimasinya.

”Mereka terpaksa melalui pelbagai dugaan sepanjang bergelar mahasiswa,” ujarnya.

ABIM juga mendesak pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; dan Kementerian Belia dan Sukan; selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersuara bagi membela
dan menyatakan pendirian dalam isu ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. “Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim menegaskan, para pemimpin serta ahli politik perlu komited dengan sikap dan prinsip kepimpinan melalui teladan dalam melawan berita palsu serta buli siber.”

    adakah anda pasti cerita yang di bawa veveonah itu benar sedangkan penghulu di dua mukim mengesahkan yang ia tidak benar..

Comments are closed.