SHAH ALAM – Datuk Seri Jamal Yunos mengemukakan sebanyak 12 cadangan dan pandangan mengenai bagaimana untuk kerajaan Selangor menangani masalah gangguan bekalan air.
Bagaimanapun Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu tidak dapat menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana dihalang oleh anggota polis yang bertugas mengawal laluan masuk ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).
Menurut beliau, memorandum itu antara lain mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai kaedah terbaik untuk memastikan air Sungai Selangor tidak lagi tercemar dan sentiasa terjamin bersih.
“Kita menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tegas dan amanah dalam menjalankan tugas terutama memantau sungai selama 24 jam sehari dan 365 hari setahun bukan bertindak ketika ada aduan.
“Kita juga minta kerajaan negeri mengenakan syarat lebih ketat kepada syarikat perindustrian walaupun mereka melepasi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.
“Saranan dan cadangan seterusnya ialah kita menggesa kerajaan Selangor mewujudkan mahkamah khas untuk mendakwa syarikat atau kilang yang ingkar peraturan sehingga menyebabkan air Sungai Selangor tercemar,” katanya kepada pemberita di luar Bangunan SSAAS hari ini.
Perhimpunan bertuala secara aman yang dijadualkan jam 10 pagi di depan pintu masuk utama Bangunan SSAAS terpaksa dibatalkan atas nasihat polis dan Jamal hanya datang seorang diri untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.
Namun, tidak ada wakil dari Pejabat Menteri Besar mahupun pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) datang berjumpanya.
Khamis lalu, Air Selangor terpaksa menutup Loji Rawatan Air 1, 2, 3 dan Rantau Panjang selama empat hari berikutan berlaku pencemaran di muka sauk Sungai Gong, menyebabkan lebih 1.2 juga pemegang akaun terputus bekalan air.
Pencemaran itu disebabkan kilang perindustrian Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. berpangkalan di Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang telah melepaskan bahan pelarut ke sungai berkenaan.
Selain itu, menurut Jamal, kerajaan negeri perlu mendengar dan mengambil kira pandangan serta saranan orang ramai, bukan hendak menunjuk bijak dan pandai.
“Kerana nak menunjuk bijak dan pandailah, bekalan air sering kali terganggu dan yang terbeban dengan gangguan itu ialah rakyat, kilang dan perindustrian.
“Perkhidmatan bekalan air sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac hingga Julai lalu adalah antara yang terburuk. Air sering terputus,” katanya. – MalaysiaGazette