Mohammad Amirul Saharuddin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Perak (DPIP) memuji hasrat bekas Ketua Armada Nasional Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hendak menubuhkan parti baharu yang ditunjangi anak muda.

Namun, menurut Ketuanya, Mohammad Amirul Saharuddin, Ahli Parlimen Muar itu memerlukan sokongan dan pengamalan yang luas dari pemimpin lama.

Katanya, beliau tidak menafikan majoriti parti yang ada sekarang rata-rata dibarisi mereka berusia, tetapi sikap saling melengkapi antara pemimpin lama dan muda yang patut diamalkan sejak dahulu lagi adalah yang terbaik.

“Kita bercakap soal menjadi pemimpin negara, mewakili suara rakyat di setiap kawasan DUN mahupun Parlimen.

“Menjadi seorang wakil rakyat bukan sekadar menjaga kebajikan rakyat, tetapi gerak kerja pembangunan juga perlu diambil kira, dasar kerajaan serta perlembagaan wajib difahami sebelum mula mengorak langkah.

“Andai tersilap langkah, ia boleh mengundang seribu satu permasalahan kepada negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, Syed Saddiq menyatakan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, beliau membayangkan akan menubuhkan satu gerakan pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada orang muda bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari.

Menurut Mohammad Amirul, sudah menjadi fitrah manusia untuk saling melengkapi kerana tiada yang sempurna seperti perumpamaan pepatah Melayu, tiada bumi yang tidak ditimpa hujan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) amat terserlah apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan menteri kabinet dengan “merojakkan” tenaga lama dan yang baharu serta ada juga dalam kalangan menteri yang bukan dari kalangan ahli politik.

“Menjadi pemimpin bukan sekadar menjadi seorang ahli politik, ia sememangnya satu saluran untuk menjadi pemimpin, tetapi ilmu dan pengalaman memerlukan satu jangkamasa yang lama untuk sebati sebagai benteng kekuatan diri.

“Dengan ini, kami menyokong kenyataan Ketua Dewan Pemuda Ikatan Pusat, Shahir Adnan bahawa penubuhan parti anak muda ini akan memecah-belahkan lagi suara anak muda jika mereka terkeliru lagi dengan janji manis menjelang PRU-15 akan datang.

“Maka, sebab itu cadangan menubuhkan parti anak muda merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana melihat golongan muda inilah yang bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan, namun harus diingatkan sekali lagi, ilmu dan pengalaman tidak dapat dibeli kecuali berdamping dengan orang lama dalam sesebuah bidang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast