KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 312 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 267 individu telah dikenakan kompaun, 38 lagi direman dan tujuh dijamin.
Menurut beliau, antara kesalahan ingkar arahan PKP yang direkodkan termasuk gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.
“Mereka juga didapati bersalah kerana masih melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam, warga asing tanpa dokumen perjalanan, premis beroperasi melebihi tempoh dan disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.
“Yang terlibat dengan aktiviti kelab malam seramai 70 individu, manakala 31 orang lagi terlibat dalam aktiviti pelacuran,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Selain itu, kata Ismail Sabri, dalam Operasi Benteng semalam, polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menahan 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan masing-masing seorang penyeludup serta tekong yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.
Dalam operasi itu, ujar beliau, anggota tentera berjaya menahan tiga PATI di Pantai Sungai Rengit, Johor kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pasukan keselamatan yang turut terlibat dalam Operasi Benteng ialah Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa agensi lain.
“Tugasan mereka ialah mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pati, termasuk mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 26,999 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Katanya, semua mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,226 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 69 individu lagi dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 16,704 individu pula telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. – MalaysiaGazette