PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengemukakan cadangan pelepasan cukai barangan sukan dan anak-anak yang terlibat dalam aktiviti sukan dalam Belanjawan 2021.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat semakin tinggi apabila ada sanggup membuat pelaburan untuk anak-anak dalam bidang tersebut.
Beliau menjelaskan, ketika ini, pelepasan cukai untuk sukan dimasukkan dalam pelepasan cukai gaya hidup dan pihaknya mahu ia diberikan secara khusus.
“Ada cadangan insentif percukaian yang belanja barang sukan cukai kerana sebelum ini dalam gaya hidup yang rangkum semua sekali seperti laptop.
“(Cadangan) dapat pelepasan cukai khusus yang beli barangan sukan dan belanja dalam bidang sukan dan pelaburan untuk anak-anak dalam sukan.
“Ini kerana dalam pendidikan dan kebajikan sudah ada, dalam bidang sukan belum ada.
“Tapi sekarang rakyat Malaysia tahap kepedulian telah meningkat bukan untuk dirinya sahaja tapi untuk anak-anak mereka untuk belanja jumlah besar dan itu kita mencadangkan insentif pelepasan cukai sukan secara khusus,” katanya selepas Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di kementeriannya hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebelum majlis bermula, Reezal dan Tengku Zafrul telah mengadakan perbincangan mengenai Belanjawan 2021.
Sementara itu, sebanyak 23 buah syarikat dalam pelaksanaan Program Felo Korporat untuk tahun ini yang membabitkan seramai 30 siswa dan graduan. – MalaysiaGazette