KUALA LUMPUR – Persatuan Wira Air (Perwira) menyeru kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah proaktif dan perkasakan langkah membanteras isu lesen kilang yang menyalahi undang-undang alam sekitar.
Pada masa sama, NGO berkenaan turut meminta rakyat memberi kerjasama memantau dan melaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jika mengesyaki pengilang mencemarkan sumber air.
Presiden Perwira, Muhammad Dhiyauddin Saharudin berkata, pihaknya bersedia membantu kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor bagi menyelesaikan isu itu selari dengan konsep prihatin kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi SPAN, Wan Hassan Mohd Ramli.
“Mereka telah memberikan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh meninjau pemulihan bekalan air kepada pengguna yang terjejas lebih empat hari akibat pencemaran Sungai Gong Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) Seksyen 121 (1) (c) – seseorang yang mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, kata Muhammad Dhiyauddin, pelaku dikehendaki membayar pampasan bagi kerosakan dilakukan kepada pihak operator jika dibuktikan dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan gangguan kepada sistem bekalan air awam.
“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 122 ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette