KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyerahkan memorandum berkaitan pencerobohan tanah secara haram dan Tanah Rizab Melayu (TRM) ke Istana Abu Bakar dan Pejabat Menteri Besar, Pahang, semalam.
Memorandum mengandungi saranan dan cadangan dari Putra itu, agar tanah seluas kira-kira 4,400 hektar yang diceroboh di Raub baru-baru ini ditukar taraf kepada TRM, memandangkan Pahang kini mempunyai 12 peratus sahaja lagi rizab tanah Melayu.
Menurut Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman, beliau bersama pimpinan Putra Pahang, Selangor, Perak dan Kedah menyerahkan memorandum itu kepada wakil istana pada jam 3 petang dan selepas itu ke Wisma Sri Pahang untuk serahan kepada Menteri Besar.
“Semalam, rombongan Parti Putra yang diketuai saya telah merafak sembah ampun perkenan menyerahkan memorandum agar Tanah Hutan Simpan yang menjadi kontroversi pencerobohan tanam durian Musang King digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu.
“Ianya sebagai tindakan positif bagi menganti Tanah Rizab Melayu yang begitu banyak tidak diganti sebelum ini. Memorandum ini diserahkan di Istana Pahang di Pekan.
“Memorandum yang sama turut diserahkan kepada Menteri Besar Pahang di Pejabat Menteri Besar di Kuantan,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Rombongan itu turut disertai Ketua Penyelaras Putra Pahang, Rosdi Idris; Naib Ketua Wiranita Putra Malaysia, Rosnita Basir; Ketua Bahagian Putra Sepang, Mohammad Amran Abd Majid; Ketua Bahagian Putra Pasir Salak, Safian Sauri Pandak Abd Samad; dan Setiausaha Putra Kedah, Syed Hairoul Faizey.
Menurut Hamidah, memorandum itu adalah untuk menyampaikan apa yang Putra Malaysia cadang dan sarankan, iaitu tanah seluas 4,400 hektar yang menjadi isu akibat pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab sejak puluhan tahun lalu, ditukar kepada TRM.
Kata beliau, tanah itu telah ditanam durian Musang King oleh lebih 100 pekebun secara tidak sah dan perlu dipandang serius oleh kerajaan negeri bagi mengelak Melayu akan terpinggir pada masa akan datang.
“Kami mohon perkenan Tuanku Pemangku Sultan Pahang dan kerajaan negeri bertindak segera serta menjadikannya sebagai kenyataan demi masa depan orang Melayu di bumi Melayu ini.
“Besarlah harapan kami Parti Putra datang dari jauh, dari Selangor, Perak dan Kedah untuk menyarankan kepada kerajaan Pahang supaya perkara ini diambil serius dan tindakan.
“Kita minta selepas ini ada usaha yang gigih oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan kembali TRM mengikut Wasiat Raja-Raja,” katanya.
Katanya, dalam negara ini sepatutnya mempunyai 50 peratus TRM, tetapi kita dimaklumkan di Pahang hari ini hanya tinggal 12 peratus sahaja. – MalaysiaGazette