KUALA LUMPUR – Banjir kilat atau apa sahaja kejadian melibatkan bencana alam dapat diatasi sekiranya kerajaan menerusi kementerian masing-masing benar-benar fokus untuk menyelesaikannya.
Jika kerajaan yang dibarisi pendokong parti masih asyik berpolitik, masalah kecil akan menjadi besar dan yang menjadi mangsa adalah rakyat.
Demikian teguran Naib Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalluddin ketika mengulas kejadian banjir kilat yang melanda ibu kota Kuala Lumpur, petang semalam.
Menurut beliau, kejadian itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mempertingkatkan kemampuan sistem penyuraian banjir di ibu kota.
Katanya, jika mereka benar-benar fokus untuk menyelesaikan hal ini, pasti pelan yang terancang dan teratur diumum dan diusahakan agar rakyat merasa lebih selamat apabila berlaku hujan lebat.
Jelas Nurhafizah, hujan lebat di Kuala Lumpur semalam dicatatkan mencecah 1.5 meter, sekali lagi menyaksikan kawasan utama termasuk penempatan di Kampung Baru digenangi air.
Begitu juga kawasan sekitar yang ada tapak pembinaan dan pembangunan yang menjadi kemungkinan menghalang pengaliran air sama ada secara sengaja atau tidak.
“Sebenarnya, penghuni bandar raya dan pengguna jalan raya sudah muak berhadapan dengan masalah banjir terutama ketika waktu puncak.
“Kerajaan tidak seharusnya menunggu sehingga berlakunya suatu tragedi untuk bertindak menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Hujan lebat yang bermula pada kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu di Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).
Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas dan seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, telah diselamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat.
Nurhafizah berkata, pihak berkuasa menyediakan pelan komprehensif untuk menyelesaikan isu banjir kilat dengan segera kerana orang ramai tidak sepatutnya diselubungi dengan masalah itu secara berterusan.
Kerajaan, tegasnya, wajar memikirkan kaedah seperti menambah laluan sistem saliran air serta kawasan takungan, bukan sekadar mengharap kepada terowong SMART dan sistem takungan sedia ada sahaja.
“Ini kerana pertambahan bangunan di bandar raya akan terus mengurangkan kecekapan kadar penyerapan air di ibu negara. – MalaysiaGazette