Pemain-pemain Pahang bersalaman dengan pemain-pemain UKM FC selepas tamatnya perlawanan Shopee Piala FA Malaysia 2019 pusingan ketiga diantara pasukan UKM FC menentang pasukan Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. foto AFFAN FAUZI, 17 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mengingatkan anak buahnya bahawa tiada jalan lain untuk layak ke TM Piala Malaysia 2020 selain perlu menang dalam baki lima lagi perlawanan Liga Premier musim ini.

UKM FC dalam misi memburu kemenangan dan aksi berdepan Kelantan United esok begitu penting bagi memastikan mereka tidak terus keciciran mata selepas kempunan dalam lima perlawanan lalu.

Jelasnya, walaupun Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan tiada penyingkiran bagi saingan Liga Premier musim ini, tetapi ia bukanlah tiket untuk barisan pemain mengambil mudah setiap perlawanan kerana fokus utama ketika ini adalah memburu slot ke TM Piala Malaysia.

Sulaiman tidak menolak prestasi anak buahnya agak tidak menentu sebaik sahaja Liga Malaysia kembali pada bulan lepas ekoran pandemik Covid-19, namun beliau optimis perlawanan esok di Stadium Majlis Perbandaran Selayang akan menghadirkan sesuatu yang positif buat UKM FC.

“Saya mengaku prestasi pemain sebelum ini memang tidak memuaskan kerana sekadar menang satu perlawanan, kemudiannya kami tewas tiga kali dan seri dua kali.

“Tetapi sekarang saya yakin kita dah baiki beberapa kelemahan dan bersedia untuk perlawanan esok, cuma Kelantan United juga sama seperti kita, dahagakan kemenangan sebab mereka juga tewas dalam dua perlawanan terdahulu.

“Jadi sudah pasti, mereka akan beri tentangan kuat kepada kita dan saya harap pemain-pemain saya tidak melakukan kesilapan mudah.

“Saya sentiasa ingatkan pemain, fokus utama sekarang adalah untuk merebut slot ke TM Piala Malaysia, dan setiap perlawanan selepas ini sangat penting kerana jurang mata dengan pasukan lain tidaklah terlalu jauh”, jelasnya.

UKM FC ketika ini berada pada kedudukan kedua tercorot dengan hanya memperoleh satu kemenangan sahaja ketika berdepan Kuching FA pada perlawanan pertama di awal musim, 29 Februari lalu.

Selain itu, perlawanan lain yang akan mencuri tumpuan sudah pasti aksi pendahulu liga, Pulau Pinang yang bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT II) esok yang mana ia cukup penting bagi memastikan mereka tidak tercicir mata apabila ketika ini bersaing rapat dengan Kuala Lumpur yang turut sama mengumpul 14 mata, di tangga kedua.

Kuala Lumpur pula sudah pasti akan berhempas pulas menentang Terengganu FC II (TFC II) di laman sendiri apabila mereka dalam misi untuk merampas kedudukan teratas liga ketika ini.

Tiga lagi perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu adalah membabitkan aksi di antara Kuching FA dan Sarawak United, Negeri Sembilan menentang Selangor 2 manakala Kelantan pula akan menerima kunjungan Perak II. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast