KUALA LUMPUR – Jumlah rakyat Malaysia yang menjalani proses kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara berkurangan kepada 10,097 orang sehingga semalam.
Mereka adalah daripada 27,101 yang dikuarantin sejak 24 Julai sehingga 11 September semalam, di 69 hotel dan lapan premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan medianya hari ini berkata, sehingga kini juga seramai 69 individu masih dirawat di hospital, manakala 16,935 sudah pulang ke rumah masing-masing selepas selesai menjalani kuarantin wajib.
Mengenai Operasi Sanitasi Awam Covid-19, beliau menjelaskan, sebanyak 9,925 operasi dilakukan melibatkan 134 zon iaitu tiga Zon Merah, 11 Zon Kuning dan 120 Zon Hijau.
Katanya, operasi yang dikawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu itu turut melibatkan 12,987 premis iaitu 2,710 pusat perniagaan, 5,716 bangunan kerajaan, 1,597 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,610 tempat awam dan 354 pasar raya.
“Semalam, sebanyak 11 operasi sanitasi meliputi satu Zon Merah dan tujuh Zon Hijau di empat negeri telah dilakukan, antaranya masing-masing empat operasi di Sabah dan di Pulau Pinang, dua di Melaka dan satu di Perak.
“Operasi ini melibatkan seramai 29 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 90 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk enam jentera JBPM digunakan,” katanya.
Berhubung penahanan individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, Ismail Sabri menyatakan, jumlah itu berkurangan kepada 84 individu.
Dari jumlah itu, 76 individu dikenakan kompaun, manakala lapan lagi direman, tiada jaminan direkodkan.
“Kesalahan mereka seperti biasa, antaranya gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal dan pub atau kelab malam.
Selain itu, menurut beliau, Task Force Operasi Pematuhan juga telah melakukan pemantauan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) Solat Jumaat di 1,787 masjid yang melibatkan 418,009 jemaah di seluruh negara.
“Semua masjid dan jemaah didapati mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette