Calon N.16 Karambunai (dari kiri) Calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ibrahim Linggam, Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yakubah Khan, Calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Seri Marajoh Unding, Calon Parti Cinta Sabah (PCS), Dayangku Ayesha Humaira Othman Shah, Calon Warisan, Ahmad Jais Otong dan Calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Nerudin Ludah beramah mesra sesama mereka pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Bukan hanya menabur janji, tetapi calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Karambunai, Datuk Yakubah Khan menawarkan tulang empat keratnya untuk rakyat di kawasan itu jika terpilih menjadi wakil rakyat.

Yakubah yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, beliau tidak akan membuang masa dalam tempoh berkempen yang bermula hari ini, sebaliknya akan memanfaatkan 14 hari dengan berjumpa sendiri para pengundi.

Fokus beliau di Karambunai adalah infrastruktur yang perlu dibangunkan seiring dengan keperluan penduduk.

“Keluar daripada Dewan ini, kita akan memulakan kerja saya hari ini padat dengan program ceramah yang telah kita tetapkan saya akan banyakkan gerakan, bertemu dengan pengundi dan kita akan bagi pihak BN akan membawa isu-isu berkenaan dengan kepentingan rakyat khususnya di Karambunai.

“Kawasan ini kita tahu urban dan suburban sudah tentulah kawasan ini banyak isu berkaitan dengan kemudahan asas, perkhidmatan dan ekonomi begitu juga di kawasan suburban yang mana agak jauh dari bandar memerlukan banyak perhatian dari segi pembangunan infra.

“Jika BN menjadi kerajaan dan jika saya terpilih, saya akan menawarkan tulang empat kerat saya untuk berkhidmat dengan rakyat saya tidak akan menjanjikan bulan dan bintang untuk rakyat tapi saya akan gunakan tulang empat kerat saya kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Raflesia Politeknik Kota Kinabalu selesai.

Yakubah merupakan senator Dewan Negara yang dilantik pada 22 Jun 2020.

Seterusnya daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) Ahmad Jais Otong pula berharap agar masing-masing mengamalkan persaingan sihat meskipun masing-masing sudah pastinya inginkan kemenangan.

Menjadi calon paling muda dan tidak berpengalaman daripada pesaingnya yang lain, Dayangku Ayesha Humaira Othman Shah mewakili Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, ia tidak menjadi halangan sebaliknya mahu membawa perubahan di Karambunai dengan cara kempen yang lain daripada lain.

“Saya akan membawa cara kempen lain daripada yang lain, jadi tunggu,” katanya yang selain itu fokus kepada keperluan peluang pekerjaan untuk generasi muda di DUN berkenaan perlu ditangani.-MalaysiaGazette