ATHENS – Sekurang-kurangnya tiga orang lemas ketika sebuah kapal yang membawa pendatang asing karam di Pulau Crete sementara 56 lagi berjaya diselamatkan, kata pengawal pantai.

Pengawal pantai itu berkata, mereka menemui tiga mayat dan mangsa dipercayai seorang wanita dan dua anak.

Empat pengawal pantai dan kapal tentera serta dua helikopter masih mencari di kawasan Pantai Timur Crete di tengah-tengah angin kencang.

Setakat ini belum dipastikan status kapal tersebut.

Greece berada di barisan hadapan krisis pendatang Eropah pada tahun 2015 dan 2016, ketika itu lebih dari satu juta orang sampai ke negara ini selepas melarikan diri daripada perang di Timur Tengah dan lain-lain.

Kebanjiran pendatang asing itu menyebabkan kem-kem dan pusat penerimaannya di pulau-pulau terpencil yang menghadap Turki sangat sesak.

Lebih daripada 74,500 pendatang dan pelarian membuat perjalanan ke Greece pada tahun 2019, kebanyakan mereka melalui laut, menurut UNHCR, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette