Piala Thomas

KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menangguhkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 Okt ini di Aarhus, Denmark susulan penularan pandemik COVID-19.

Dalam kenyataannya hari in, BWF berkata keputusan dibuat selepas berunding dengan Badminton Denmark, namun menegaskan kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung pada tahun ini juga.

Badan sukan badminton dunia itu juga mengakui tindakan beberapa pasukan menarik diri daripada kejohanan susulan kebimbangan akan pandemik tersebut turut menyumbang kepada penangguhan kejohanan.

“Walaupun kembalinya aksi badminton dunia kekal sebagai keutamaan kami, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton lebih diutamakan,” kata badan itu.

Keputusan itu tidak memeranjatkan memandangkan beberapa negara seperti Thailand, Australia, Taiwan selain juara Piala Thomas 13 kali Indonesia telah menarik diri lebih awal daripada kejohanan.

Bagaimanapun menurut BWF, Kejohanan Terbuka Denmark di Odense dari 13 hingga 18 Okt ini akan berlangsung seperti yang dijadualkan.

Kejohanan itu akan dimanfaatkan untuk melaksanakan protokol keselamatan dan prosedur operasi COVID-19 bagi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Kejohanan kedua yang dijadualkan berlangsung di Odense iaitu Victor Denmark Masters 2020 dari 20 hingga 25 Okt ini bagaimanapun dibatalkan,” kata BWF yang turut memaklumkan yang ia akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap tiga kejohanan Asia berdasarkan kalendar Jelajah Dunia yang telah diubah suai.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan masing-masing pada 1949 dan 1957, kejohanan Piala Thomas dan Uber tidak pernah dibatalkan.- BERNAMA