Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama penyokong ketika hadir ke perjumpaan Pengerusi BN bersama pengundi di Kalabakan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di PDM Keramat, Kampung Pukat, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan kawan lamanya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Katanya, biar pun akan ada siri jelajah ke Semporna namun beliau dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak dapat berjumpa kerana masing-masing mempunyai jadual kempen parti masing-masing yang ketat.

“Saya mempunyai program yang ketat esok dan Semporna adalah salah satu destinasi (kempen) tapi saya tak mungkin akan dapat jumpa dengan sahabat lama saya itu (Mohd Shafie) kerana dikhabarkan beliau telah kembali ke Kota Kinabalu malam ini,” katanya.

Kedua-dua mereka pernah menjadi Naib Presiden UMNO selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan Presiden UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir ke perjumpaan Pengerusi BN bersama pengundi di Kalabakan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di PDM Keramat, Kampung Pukat, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, rancangan UMNO untuk membentuk kerajaan di Sabah gagal susulan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.

Ini kerana usaha untuk membentuk kerajaan baharu itu tidak mendapat kebenaran selepas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mendapat nasihat daripada Mohd Shafie bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. – MalaysiaGazette