Gambar hiasan.

KUNAK – Beberapa kawasan di Kunak yang dilaporkan mempunyai kes positif Covid-19 mula disanitasi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mula menggerakkan para pegawainya di sekitar bandar ini bagi proses sanitasi.

Menurut Leftenan Muda, Farhana Mukhtar, sehingga hari ini, sebanyak 30 kawasan telah disanitasi sepanjang kes baharu di kawasan ini dilaporkan.

“Hari ini kami akan buat proses sanitasi di lima buah tempat dimana yang telah dilawati oleh kes-kes itu.

“Lebih kurang 30 tempat duduk kami sanitasi setakat ini. Kami bantu KKM untuk proses sanitasi di kawasan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Antara kawasan yang telah disanitasi adalah kawasan Sekolah Kebangsaan Kunak 11, taman didikan kanak-kanak (Tadika), dan kawasan-kawasan tumpuan awam.

Sama sepertimana proses sanitasi awam di kawasan-kawasan lain, pegawai APM akan menyemburkan cecair pembasmi kuman di bangunan bagi mengelakkan penularan Covid-19 disini.

Untuk rekod, Kunak adalah salah satu kawasan terkesan dengan Covid-19 yang mencatatkan lapan kes semalam, Lahad Datu 4 dan Semporna satu kes.

Sejumlah 887 kes positif Covid-19 dikesan setakat ini di Sabah. – MalaysiaGazette