Hans Kluge. foto Agensi

NEW YORK – Lonjakan angka kes jangkitan Covid-19 di seluruh Eropah sepatutnya dijadikan ‘penggera’, kata Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Hans Kluge.

Kluge memaklumkan dalam dua minggu ini, jumlah kes baharu meningkat dua kali ganda di lebih separuh negara Eropah.

“Kami menghadapi situasi yang sangat serius,” katanya sambil memaklumkan jumlah jangkitan kini menjadi 30 juta.

Menurutnya, lebih 942,000 orang maut sejak wabak koronavirus itu muncul di China akhir tahun lalu.

Bercakap di Copenghagen, Kluge berkata, sebanyak 300,000 kes jangkitan dilaporkan berlaku di Eropah sejak minggu lalu sahaja dan kes mingguan pula melepasi jumlah kes yang dilaporkan semasa gelombang pertama pada bulan Mac lalu.

“Walaupun angka ini mencerminkan ujian saringan yang lebih komprehensif, angka ini juga menunjukkan kadar penularan yang membimbangkan di seluruh wilayah,” katanya.

Kluge berkata, angka-angka itu seharusnya menyedarkan seluruh masyarakat dunia tentang penularan wabak koronavirus.

Katanya, walaupun jumlah kemasukan dan kematian di hospital belum menunjukkan peningkatan yang serupa, tetapi di Sepanyol dan Perancis menunjukkan peningkatan.

Meskipun golongan lebih muda – kemungkinan kurang teruk jika dijangkiti wabak berkenaan namun kumpulan itu merupakan kelompok terbesar yang dijangkiti Covid-19 pada masa ini.

Malah terdapat kebimbangan akan banyak lagi kes penyakit serius sekiranya virus itu terus merebak kepada golongan tua dan lebih terdedah.

Menurut WHO, terdapat lima juta kes yang disahkan dan lebih daripada 228,000 kematian di seluruh Eropah sejak wabak itu bermula. – MalaysiaGazette