Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lima penduduk termasuk dua kanak-kanak melalui detik cemas apabila lif yang dinaiki mereka terhempas dari tingkat lima di flat Taman Batu Permai di Jinjang, di sini pada pukul 2 petang tadi.

Bagaimanapun, kesemua mereka terselamat dan dikeluarkan daripada lif itu oleh penduduk perumahan yang menyedari kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Shanmugamoorthy Chinniah berkata, polis menerima panggilan mengenai insiden itu dimaklumkan pengadu bahawa terdapat lima mangsa semasa kejadian iaitu tiga dewasa dan dua kanak-kanak.

“Kesemua mangsa naik lif pertama dari tingkat 5 bangunan tersebut dan secara tiba-tiba lift tersebut terhempas tetapi secara perlahan sehingga ke aras bawah,” kata beliau dalam kenyataan media malam ini.

Menurut Shanmugamoorthy, pengadu dimaklumkan bahawa ada orang terperangkap di dalam lif tersebut.

Ujar beliau, pintu lif tersebut dapat dibuka tanpa masalah dengan bantuan penduduk flat itu dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat danĀ mangsa mengalami bengkak kaki dan terseliuh.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut sementara syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara lif berkenaan berada di lokasi kejadian bagi mencari punca kejadian tersebut.

“Ini adalah pertama kali kejadian seperti ini berlaku dan sebelum ini lif ini di selenggara mengikut jadual,” katanya. -MalaysiaGazette