White House. foto Agensi

WASHINGTON – Pihak berkuasa telah menangkap seorang individu yang disyaki mengirim racun ricin yang boleh membunuh di dalam sampul surat yang dialamatkan ke White House.

Bagaimanapun, surat berkenaan berjaya dipintas sebelum dapat dihantar ke White House, kata sumber penguatkuasa.

Menjawab soalan Reuters yang meminta pengesahan laporan  tentang penahanan seorang wanita di sempadan Amerika Syarikat-Kanada, pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam kenyataan berkata: “Tangkapan telah dibuat ke atas individu yang didakwa bertanggungjawab menghantar surat mencurigakan itu”.

Kenyataan itu menambah: “Siasatan sedang dijalankan.”

Sumber penguatkuasaan undang-undang memaklumkan, “surat mencurigakan” yang disebut dalam kenyataan FBI itu adalah sama dengan sampul surat yang didapati berisi ricin.

Artikel berkaitan:Bungkusan mengandungi racun ricin dihantar kepada Donald Trump

Sumber itu juga mengatakan individu yang ditangkap adalah wanita warga negara Kanada.

Dalam pada itu, Polis Diraja Kanada (RCMP) mengesahkan pihaknya telah menerima permintaan bantuan daripada FBI dalam siasatan surat yang mengandungi racun ricin yang dikirim dari Kanada.

RCMP selanjutnya memaklumkan analisis FBI terhadap bahan di dalam sampul tersebut mengesan kandungan ricin, agen yang sangat toksik dari biji kastor. – MalaysiaGazette