Calon Perikatan Nasional DUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho beramah mesra bersama penduduk kampung ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Sungai Lahat-Lahat, Pulau Sebatik, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Kenyataan bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Mohamaddin Ketapi memperlekeh insiden Tanduo dan mendakwa pencerobohan di Lahad Datu pada pada tahun 2013 hanya satu sandiwara dibidas.

Bekas wakil rakyat Warisan, Datuk Abdul Muis Picho berkata, kenyataan Mohamaddin itu dibuat hanya untuk meraih undi saat-saat akhir daripada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama.

“Kejadian di Tandauo itu sebetulnya bukan dirancang. Kejadian itu memang pengganas dari Filipina yang sering kali mahu masuk ke Sabah.

“Sepatutnya kenyataan Mohamaddin itu janganlah buat satu kenyataan untuk memancing undi kepada rakyat Sabah,” katanya yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Sebatik itu hari ini.

Calon Perikatan Nasional DUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho berucap ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

Terdahulu Mohamaddin yang juga calon Warisan bagi kerusi DUN Segama dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 itu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya ketika berkempen, Mohamaddin berkata, pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan perperangan tidak berlaku.

Bagaimana, Mohamaddin hari ini tampil memohon maaf dan mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya.

Jelasnya lagi, itu adalah permainan kotor untuk memburukkan partinya serta telah diputar belit. – MalaysiaGazette