social media online
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) sedang memperkasakan fungsi 1,064 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat transformasi digital untuk masyarakat setempat dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran utama.

Ia sejajar dengan peranannya yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang mampan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), turut membantu melaksanakan agenda pembangunan modal insan dalam sektor digital, terutamanya untuk golongan belia berusia
antara 15 hingga 40 tahun.

Selain memberi latihan kemahiran asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelbagai golongan, PIK kini mampu menyediakan latihan yang lebih canggih seperti pengaturcaraan, aplikasi robotik, penciptaan aplikasi mudah alih, keusahawanan e-dagang, animasi, penerbitan video, pencetakan tiga dimensi dan latihan-latihan lain yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menambah kemahiran dan mencipta inovasi.

SKMM berkata, kemudahan dan pelbagai program yang disediakan ini diharap dapat merangsang golongan belia melengkapkan diri dengan pengetahuan
digital yang sofistikated untuk bersaing membina masa hadapan.

Menurutnya, golongan belia merupakan kumpulan pengguna kemudahan telekomunikasi paling ramai dan paling aktif.

Tinjauan oleh SKMM terhadap penggunaan perkhidmatan jalur lebar pada 2018 mendedahkan bahawa golongan belia membentuk komposisi seperti berikut:-
– 67.8% daripada 28.7 juta pengguna Internet;
– 80.9% atau 16.6 juta terlibat dengan aktiviti e-dagang; dan
– 78.4% menggunakan Internet setiap hari antara 1-12 jam.

Malah, tinjauan ini juga menunjukkan kecenderungan golongan belia menggunakan Internet sebagai platform utama untuk mencari pekerjaan, bermain permainan dalam talian, mendapatkan hiburan, berkomunikasi dan mencari maklumat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast