Denell menunjukkan kad Fleet Petron yang membantu majikan memantau urusan pembelian minyak diesel lori di Petaling Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Syarikat tempahan lori online, Justlorry memperkenalkan Program Kesetiaan bagi membantu rakan kongsi logistiknya mengurus dan memantau perbelanjaan kegunaan diesel.

Ketua Pegawai Eksekutif Justlorry, Denell Wong berkata, program berkenaan berbentuk kad Fleet Prabayar membantu mereka mengesan dan memantau perbelanjaan minyak yang
digunakan pemandunya.

“Misalnya, pengusaha boleh melihat rekod transaksi, jumlah liter, masa dan lokasi pengisian minyak menerusi portal akaun minyak.

“Dengan melihat jumlah kegunaan minyak, mereka sebenarnya boleh mengurus perbelanjaan kegunaan minyak dengan lebih bijak selain dapat mengesan jika berlaku penyalahgunaan kad berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Denell, program berkenaan mendapat kerjasama sokongan daripada Petron Fuel International Sdn Bhd dan setakat ini mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan vendor yang berdaftar di bawah naungan Justlorry.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha kini berpuas hati menggunakan kad fleet Petron tersebut memandangkan mereka tidak perlu menyerahkan wang tunai kepada pemandu lagi.

“Malah, mereka boleh menetapkan had harian, bulanan dan jenis minyak yang mahu digunakan bagi mengelakkan penggunaan secara berlebihan,” jelasnya.

Selain manfaat bayaran bayaran tanpa tunai, Denell berkata, pemegang kad fleet boleh mendapatkan mata ganjaran satu liter bersamaan dengan empat sen setiap kali mengisi bahan api itu.

“Kesemua mata ganjaran ini akan dimasukkan ke dalam kad itu semula selewat-lewatnya seminggu setiap bulan,” katanya.

Sehubungan itu, pengusaha atau pemandu lori yang berhasrat untuk menyertai program Justlorry boleh mendaftar di https://bit.ly/justlorryloyalty atau menghubungi 012 – 665 3573. – MalaysiaGazette