SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) memberi jaminan akan menangani capaian kemudahan Internet di Kampung Kongsi 14 dengan sewajarnya.

Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat di kampung itu, SKMM bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan di kampung tersebut untuk tampil dengan jalan penyelesaian sementara.

”Untuk penyelesaian secara menyeluruh, solusi jangka panjang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dirancang dan akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu susulan pendedahan ratusan penduduk di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah terpaksa menggunakan tiang, baldi dan tali untuk menikmati kemudahan Internet di situ.

Ekoran itu, SKMM telah turun padang ke kawasan berkenaan pada 18 September dan 20 September lalu bagi menyiasat aduan yang dibangkitkan.

Satu pertemuan antara pihak SKMM dengan komuniti setempat telah pun diadakan bagi memahami keperluan dan kehendak penduduk di kawasan berkenaan, ujar suruhanjaya itu yang memandang serius aduan berkenaan. – MalaysiaGazette