Seorang lelaki berusia 26 (kanan) tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan memandu dibawah pengaruh alkohol di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 22 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Tertuduh, Yogendran Rao Ramachandran, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hanie Dzatul Akmar Zulkefli.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari serta didenda RM2,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan boleh dipenjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Yogendran melakukan kesalahan itu di Persiaran Anggerik Mokara di sini dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi, jam 1 pagi pada Ahad lalu ketika sekatan jalan raya.

Ketika ujian alkohol dilakukan ke atas Yogendran, pihak polis mendapati kadar alkohol dalam nafasnya didapati sebanyak 85 mikro gram per 100 mililiter darah iaitu lebihan 50 milligram yang dibenarkan.

Kadar alkohol atau had yang dibenarkan adalah 35 milligram dalam 100 mililiter darah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda dari RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin. – MalaysiaGazette