Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ketika hadir pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Satu lagi kluster baharu iaitu Udin telah dilaporkan di Tawau, Sabah yang melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 72 tahun, kata Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, kes indeks itu dikesan positif Covid-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September lalu.

Susulan itu jelas beliau, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi dikesan positif ada 22 September lalu melibatkan warganegara Filipina di mana mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari, sejumlah 128 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah tiga kes dikesan positif, 71 kes dikesan negatif dan 54 individu menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang terlibat. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, terdapat lapan kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada hari ini.

Jelas beliau, ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 13 kes di mana 10 kes warganegara Malaysia manakala tiga lagi adalah warganegara Filipina. – MalaysiaGazette