Unit Skuadron Istiadat Berkuda membuat kawalan di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Istana Negara memaklumkan majlis mengadap Presiden PKR, Daruk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong semalam, ditangguhkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, penangguhan itu berikutan kegeringan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ketika ini, Al-Sultan Abdullah akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para Jemaah Menteri Kabinet dan individu termasuk Anwar yang telah mendoakan kesejahteraan baginda,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada sidang media khas beliau di sebuah hotel di ibu negara hari ini, menyatakan mempunyai jumlah majoriti yang kukuh untuk beliau menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, kata Presiden PKR itu, Muhyiddin bukan lagi perdana menteri dan beliau akan membentuk kerajaan baharu sebaik Yang di-Pertuan Agong sembuh dari kegeringan.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, baginda bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara tercinta ini bersama semoga dikurniakan keberkatan daripada Allah.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette