Keadaan jalan yang tidak berturap dianggarkan kira-kira 5 kilometer yang digunakan setiap hari oleh penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KUNDASANG – Sejak tahun 1970-an jalan tidak diturap menyebabkan penduduk Kampung Kauluan di sini menuntut agar jalan masuk ke kampung mereka dinaik taraf.

Sudahlah tidak berturap, longgokkan batu besar di jalan raya ada di mana-mana selain sistem perparitan tidak baik sehingga ia bertukar menjadi ‘sungai’ setiap kali hujan.

“Sejak berdekad sampai sekarang memang jalan begini, ada penambahbaikan tetapi tidak ada diturap hanya sikit sahaja. Diratakan sahaja, ini adalah jalan keluar masuk ke kampung ini,” kata seorang penduduk, Alxius Gitir, 48, yang juga pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penduduk, Alxius Gitir menunjukkan keadaan jalan yang tidak berturap dianggarkan kira-kira 5 kilometer yang digunakan setiap hari oleh penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette sepanjang lebih kurang lima kilometer mendapati jalan tidak berturap dan keadaannya sangat teruk.

Keadaan jalan yang tidak berturap dianggarkan kira-kira 5 kilometer yang digunakan setiap hari oleh penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

Memasuki kampung itu dengan menggunakan kereta mengambil masa lebih kurang 30 minit kerana permukaan jalan yang tidak rata.

Di hujung Kampung Kauluan itu juga ada sekolah kebangsaan dan perpustakaan menjadikan laluan itu digunakan setiap hari.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Salviaty Muhitam, 38, berkata, keretanya kerap rosak kerana jalan masuk gara-gara keadaan jalan masuk ke kampung berkenaan.

Temubual bersama penduduk, Salviaty Muhitam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

Suri rumah itu mendedahkan permohonan penduduk agar jalan ditambah baik telah disuarakan beberapa kali namun sehingga kini tidak ada tindakan proaktif yang diambil.

Malah ujarnya lagi, setiap kali hujan risiko tanah runtuh juga menjadi lumrah.

“Pernah juga diminta tapi tidak tahulah sampai ke peringkat ke manakan. Saya pun tidak tahulah bila mahu ditar (diturap). Susahnya, kereta sekejap sahaja dibaiki akan rosak, tayar ada sahaja masalah, enjin pun rosak.

Justeru beliau berharap agar masalah yang seolah-olah sudah sebati dengan mereka itu dapat ditangani dengan segera.

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Nora Mabin, 49, yang mendakwa keadaan jalan itu tidak pernah mengalami perubahan.

Temubual bersama penduduk, Nora Mabin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Kauluan, Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

“Semenjak saya datang di sini memang jalannya begini belum ada perubahan. Sebelum ini memang ada juga penduduk di sini minta untuk baiki jalan tapi sudah diluluskan tapi tidak ada juga sampai sekarang tapi tidak ada juga dijalankan penambahbaikan.

“Waktu Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan negeri memang ada juga disuarakan. Ada dibuat turap sikit sahaja,” ujarya lagi.

Tidak mahu menyentuh soal politik, parti mana yang menang, calon siapa yang berjaya meraih undi namun kata Salviaty, masalah jalan itu perlu diselesaikan demi penduduk yang memerlukan.-MalaysiaGazette