Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, untuk tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah langkah yang baik.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, keputusan Presiden UMNO itu adalah betul, iaitu ke arah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru secepat mungkin.

“Keputusan untuk menyokong sesiapa sahaja, sama ada menyokong Anwar atau menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan bermakna Zahid atau UMNO menyokong pembentukan kerajaan yang baharu dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sebab jika Ahli-ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan atau menjadi berkecuali, Anwar masih tidak boleh menjadi Perdana Menteri secara automatik.

“Ini kerana besar kemungkinan Parlimen akan dibubarkan untuk diadakan pilihan raya yang baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam respons Ahmad Zahid terhadap Anwar yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu itu berkata, UMNO dan BN bukan parti komponen PN.

Kata beliau, sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-ahli Parlimen sahaja.

Justeru, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” kata Ahmad Zahid.

Oleh itu, menurut Isham, keputusan Presiden itu adalah suatu langkah yang bijak dan betul untuk mengakhiri kebuntuan dan ketidakstabilan politik serta ekonomi yang dihadapi sekarang demi kepentingan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette