ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Seorang anggota polis trafik yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditahan selepas didakwa memperdayakan seorang pemandu lori.

Kejadian dilaporkan berlaku pada khamis 17 September lalu di ibu pejabat daerah itu sekitar jam 2 petang ketika mangsa datang untuk menyemak rekod saman lampau anaknya.

Setelah semakan dibuat, mangsa mendapati jumlah keseluruhan saman tertunggak adalah RM1,120.00.

“Ketika pengadu masih di kaunter trafik tersebut, dia ditegur suspek yang menawarkan bantuan untuk menyelesaikan saman dengan hanya perlu membayar sebanyak RM500,” katanya Ketua Polis Daerah itu Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal hari ini.

Suspek memberi alasan kepada mangsa dia mempunyai rakan di trafik Bukit Aman yang boleh membantu mengurangkan saman tersebut.

Oleh kerana percaya dan yakin dengan kata-kata suspek, mangsa telah memasukkan wang RM500 seperti yang diminta suspek ke dalam akaun milik anggota polis itu.

Suspek berjanji akan menyelesaikan masalah saman itu dalam masa tiga hari.

Namun mangsa mula tidak sedap hati apabila sehingga hari ini saman tersebut masih belum diselesaikan seperti yang dijanjikan suspek anggota trafik itu.

“Bertindak atas maklumat mangsa selaku pengadu, pada 23 September 2020 sekitar jam 7.30 petang sepasukan polis IPD Petaling Jaya telah menahan suspek berusia 45 tahun yang bertugas di trafik ibu pejabat polis berkenaan, juga pemilik akaun tersebut.

“Ujian air kencing terhadap suspek mendedahkan positif syabu atau methaphetamine dan suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Jika disabitkan kesalahan, katanya suspek boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Nik Ezanee menasihati orang awam khususnya dalam daerah Petaling Jaya agar melakukan sebarang urusan semakan saman melalui semakan online atau dimana-mana kaunter trafik ( COPS ) seluruh negara melalui sistem Perkhidmatan Sistem Rilek https://www.rilek.com.my.

Ujarnya orang ramai juga boleh menggunakan khidmat semakan saman secara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip POLIS SAMAN <jarak> No. Pengenalan @ No. Kenderaan dan Hantar ke 15888.

Mereka boleh juga menggunakan sistem perkhidmatan MyEG https://www.myeg.com.my dan untuk pembayaran saman pula haya boleh membuat di mana-mana kaunter trafik sahaja di seluruh negara.

“‘Jangan buat sebarang pembayaran saman di pejabat pertanyaan kemalangan trafik kerana sebarang pembayaran saman hanya melalui kaunter saman COPS dengan dibekalkan resit rasmi PDRM,” tegas beliau. – MalaysiaGazette