Najib Razak

KUALA LUMPUR- Selepas didakwa hanya mendiamkan diri mengenai isu kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini kembali dengan troll di Facebooknya berhubung perkara itu.

Mengepil bersama keratan artikel sebuah portal yang mendakwa beliau  salah seorang wakil rakyat yang bakal memberi sokongan kepada Anwar, Ahli Parlimen Pekan itu masih berteka-teki berhubung statusnya itu.

Beliau tidak mengiyakan mahu pun menafikan secara jelas sama ada memberi sokongan kepada Anwar atau tidak.

Sebaliknya, Najib menggunakan hantaran tersebut untuk menyindir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak putus-putus mengutuknya sebelum ini berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan mendakwa Najib sebagai pemimpin kleptokrasi.

“Laman web yang lapor saya antara 19 ahli Parlimen UMNO yang sokong Anwar jadi PM juga senaraikan saya sebagai Menteri jaga Ekonomi.

“Individu yang pernah difitnah ada ijazah juga dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Nak tanya: Saya report kepada boss saya Menteri Kewangan Guan Eng tak?” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Di ruangan komen hantaran tersebut, Najib berlawak mengatakan beliau mahu bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad sebagai Timbalannya.

“Jika boleh, saya nak minta Lid jadi Timbalan saya sebab dia sangat faham hal Bitcoin,” katanya lagi.

Semalam, ketika isu itu hangat dibincangkan di media-media sosial sebaik Presiden PKR itu membuat sidang medianya, Najib hanya menghantar satu hantaran di Facebook mengenai makanan ringan Super Ring.

Time macam ini kena pasti bekalan stok cukup,” katanya sebagai kapsyen kepada gambar makanan ringan itu sedang dimasukkan ke dalam plastik.- MalaysiaGazette