KUALA LUMPUR – Bekas pemain Terengganu City FC, Mohamad Solihin Mahamad telah kembali ke Rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu malam tadi.

Laman Facebook Football Terengganu memaklumkan, arwah yang juga pemain Piala Presiden Terengganu  meninggal dunia selepas rebah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ketika aksi persahabatan Selasa lalu.

“Semoga ahli keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi ujian dan ditempatkan Allahyarham di dalam syurga Allah SWT bersamanya orang yang beruntung berada di sisiNya,” memetik kenyataan tersebut.

Selasa lalu, arwah rebah sebelum muntah dan pengsan di padang selepas kira-kira 20 minit beraksi mewakili pasukannya, Gong Parit FC menentang Tualang FC pada aksi persahabatan sebelum dikejarkan ke hospital.

Selama tiga hari dirawat di HSNZ, arwah yang masih bujang tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi dan disahkan akibat serangan jantung.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini pernah mendapat tawaran menyarung jersi pasukan Liga Super Selangor musim lalu.

Arwah yang berasal dari Kampung Bukit Depu, selamat dikebumikan pukul 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan. – MalaysiaGazette