Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan lima kawasan di negara ini kini bertukar menjadi zon merah.

Empat daripadanya di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna manakala satu lagi di Kota Setar, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan Covid-19 di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya.

“Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah masih tetap meningkat di mana terdapat 97 lagi kes positif Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Terdapat 10 kes yang dikesan positif Covid-19 setelah kembali dari Sabah pada Minggu Epid ke-39 (iaitu 20 September 2020 hingga hari ini).

“Kesemua mereka ini telah diasingkan dan kini mendapat rawatan di hospital. Pengesanan kontak bagi kesemua kes ini juga giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, keputusan terkini yang baru diterima dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan 23 virus Covid-19 yang diasingkan dan dikultur daripada Kluster Benteng LD di Sabah didapati mempunyai mutasi D614G.

“Namun ianya tidak berkaitan dengan virus Covid-19 mutasi D614G yang ditemui di kluster-kluster di Kedah,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menggesa semua masyarakat di Sabah untuk lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan termasuk semasa tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan semasa hari mengundi.

“Seperti resmi budaya kita di Malaysia, masyarakat sangat digalakkan untuk saling tegur menegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita daripada jangkitan Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette