Tuan Ibrahim Tuan Man

BANGI – Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin menjejaskan hubungan antara parti dalam Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO itu merupakan pandangan peribadinya meskipun boleh mengarahkan ahli Parlimen patuh dengan arahannya.

Bagaimanapun ia terpulang kepada ahli Parlimen berkenaan sama ada mahu mengikut arahan tersebut atau sebaliknya kerana ia adalah hak masing-masing, katanya.

“Sama ada dalam pelbagai parti yang ada, dalam kontek hubungan MN kita tidak terjejas dan kita terus bersama,

“Untuk makluman kita juga ada dalam pertemuan untuk sambutan ulang tahun pertama MN. Sepatutnya dibuat 14 September lepas, tapi oleh kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) kita tunggu hingga selesai PRN. Selepas ini, kita akan adakan sambutan ulangtahun pertama.

“Ulangtahun ini juga akan menerima kemasukan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebagai komponen dalam MN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan operasi gempur cegah isu pencemaran alam sekitar di Seksyen 16 Bangi, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim ditanya wartawan berhubung kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah semalam apabila memberitahu pendirian Pas mungkin berlainan sekiranya benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengikut undang-undang dan Perlembagaan sekiranya beliau mahu menunjukkan mendapat sokongan majoriti.

“Dah banyak kali dah, dia dipanggil sindrom September, dulu 16 September, 26 September setiap tahun ada angka enam dan berlaku pada bulan September,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut menegaskan sekali lagi bahawa 18 Ahli Parlimen masih lagi utuh bersama dalam PN menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette