KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO yang bersengkokol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu perlu dipecat dari parti.
Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusuf berkata, ini berdasarkan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP dan Anwar.
Katanya, ia diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa MT memutuskan mana-mana pemimpin yang menyokong Presiden PKR itu boleh dipecat.
“Ismail Sabri malah dilaporkan oleh portal UMNO online sendiri sebagai berkata “arahan Presiden UMNO (Ahmad Zahid) dulu juga memaklumkan bahawa sesiapa yang tidak patuh kepada keputusan ini akan dipecat.
“Maka, keputusan itu masih kekal, melainkan Mesyuarat MT UMNO membuat keputusan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kamarul Zaman mengulas mengenai khabar angin ada sekumpulan Ahli Parlimen dari UMNO dikatakan akan bekerjasama dengan Anwar, sekali gus menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pembangkang mempunyai majoriti kukuh.
Anwar dalam sidang media khas Rabu lalu, mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jatuh dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri.
Beliau turut mendakwa, sepatutnya mengadap Yang di-Pertua Agong pada Selasa lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda kegeringan dan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman bagaimanapun berkata, oleh kerana sehingga kini tidak pernah ada laporan bahawa keputusan MT ini pernah diubah, maka apakah ini bermakna rakyat akan menyaksikan pemecatan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar selepas ini? – MalaysiaGazette