Pengundi mengamalkan penjarakan sosial pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Sekolah Agama Negeri Pekan, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir pada pukul 5 petang apabila petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup pagar 741 pusat mengundi.

Sebanyak 16 parti bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal membubarnya pada 29 Julai lalu.

Seramai 1.08 juta pengundi layak mengundi dan daripada jumlah itu seramai 16,877 orang telah mengundi awal pada 22 September lalu.

Pada PRN ini seramai 447 calon bertanding dan hanya Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding di kesemua 73 kerusi DUN.

Parti Warisan Sabah Warisan bertanding di 53 kerusi diikuti Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47 kerusi), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46 kerusi), Barisan Nasional (BN) (41 kerusi), Perikatan Nasional (PN) (29 kerusi), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28 kerusi), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23 kerusi) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22 kerusi).

Selain itu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempertaruhkan 12 calon, PKR (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah lima, Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan). – MalaysiaGazette